Pelakon dan pelawak veteran, Saiful Apek tampil memberi penjelasan susulan penularan sebuah gambar yang memperlihatkan dirinya ditahan polis baru-baru ini.

Saiful Apek Nafi Ditahan, Jelaskan Polis Hanya Leraikan Salah Faham

Menurut Apek, gambar berkenaan telah disalah tafsir oleh netizen kerana tidak menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku. Jelas beliau, situasi yang dirakam sebenarnya hanyalah tindakan pihak polis yang cuba meleraikan salah faham antara dirinya dan seorang individu ketika berada di sebuah majlis.

“Tiada insiden pergaduhan pun berlaku. Ia lebih kepada pertelingkahan kecil selepas individu berkenaan mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti saya sebagai anak seni,” ujar Apek secara tenang ketika ditemui media.

Beliau menjelaskan, kejadian berlaku ketika menghadiri rumah terbuka anjuran Ketua Polis Negara di Cheras. Ketika itu, individu terbabit didakwa telah mengeluarkan komen menghina filem 6 Jilake dan turut menyentuh nama pengarahnya, Aziz M. Osman, yang juga dianggap Apek sebagai mentor dalam dunia seni.

“Saya cuba bersabar dan berundur secara baik demi menghormati majlis. Tetapi apabila perkara berlarutan hingga ke kawasan parkir, pihak polis akhirnya campur tangan untuk tenangkan keadaan,” katanya lagi.

Apek turut menyatakan rasa kesal apabila kejadian tersebut mencetuskan kekeliruan, terutamanya dalam kalangan ahli keluarga serta sahabat terdekat yang menerima berita secara mengejut. Beliau turut memohon maaf atas kekeliruan yang timbul serta berharap isu itu tidak dibesar-besarkan.

Apa yang lebih merisaukan, katanya, ialah kesan psikologi terhadap rakan seperjuangan dalam kumpulan Senario, khususnya Azlee, yang sedang berdepan masalah kesihatan.

Insiden itu tular selepas sebuah portal melaporkan gambar seorang individu memakai baju Melayu merah jambu kelihatan seperti dikawal oleh anggota polis. Tanpa penjelasan lanjut, gambar tersebut mencetuskan pelbagai andaian sehingga Apek tampil memberi kenyataan rasmi untuk menjernihkan keadaan.

Kredit: mStar

 

 

[fbcomments]