Kerajaan kesal dengan tindakan usahawan kontroversi, Muhammad Sajad Kamaruzaman dan rakan-rakan yang bertelekung serta menjalani ibadah umrah seperti wanita.
Mencemarkan Islam dan hubungan baik Malaysia-Arab
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, tindakan itu telah mencemarkan imej Islam dan hubungan baik Malaysia dengan Arab Saudi.
“Saya kesal dengan tindakannya, sudahlah itu dipaparkan pula di Instagram seolah-olah bukan kesalahan.”
Pihak agensi perlu lebih peka
Menurutnya agensi pelancongan yang membawa Muhammad Sajad,35, sepatutnya sedia maklum dengan status lelaki itu.
“Saya tidak tahu apa janji dia kalau bawa pergi umrah. Apa janji dia untuk tidak menimbulkan perkara yang boleh mencetuskan kemarahan rakyat.”
Beliau berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada orang ramai yang terganggu dengan tindakan tersebut.
Dia seorang lelaki
“Kad pengenalannya adalah lelaki dan dia seorang lelaki secara biologinya.“
“Apabila di Makkah dia berpakaian telekung dan sudah tentu berpakaian wanita. Semua pergerakan, tempat yang dia lawati dan ruang solat dia adalah bersama wanita.“
“Ini menimbulkan ketidakselesaan kerana dia telah menceroboh ruang dikhaskan kepada wanita.”