Siapa sangka ketika jalan tiada kenderaan lain ketika musim PKP ini, masih ada yang mengalami kemalangan yang tidak dijangka.
Viva berlanggar dengan Lamborghini Huracan
Seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Azman Nor, dia memaklumkan bahawa kereta Perodua Viva milik makciknya telah mengalami kemalangan dengan sebuah kereta Lamborghini .
Keadaan kereta Viva itu sangat teruk dan pastinya memerlukan modal yang besar untuk dibaiki. Akan tetapi, pemilik Lamborghini tersebut bertindak menggantikan kereta yang dilanggar dengan sebuah kereta baru!
Hanya ingin meringankan beban
“Ini bukan soal ada wang boleh beli apa saja, tetapi apa yang saya buat ini lebih kepada untuk memudahkan urusan dan mengurangkan seberapa boleh beban dialaminya.”
Demikian kata pemilik Lamborghini, Thomas Heng, 40. Thomas berkata, dia tidak terbabit dalam kejadian itu sebaliknya kenderaan mewah miliknya itu dipandu seorang rakan perniagaannya yang mahu keluar membeli barang keperluan, dua hari lalu.
Katanya, tiba di lokasi kejadian di Seksyen 17, Petaling Jaya, Selangor, rakannya itu tidak sempat mengelak kenderaan di depannya yang tiba-tiba menukar lorong tanpa memberi isyarat.
“Akibat kemalangan itu, Lamborghini saya remuk pada bahagian depan dan kanan manakala Viva wanita itu ‘total loss’ (musnah).
Selesai tanpa pergaduhan
Menurut lelaki berusia 40 tahun itu, kes diselesaikan secara baik tanpa pergaduhan dengan pemandu Perodua Viva tersebut.
“Kes diselesaikan secara baik tanpa pergaduhan malah dua-dua pihak membuat laporan polis untuk proses tuntutan insurans, namun bagi kereta ‘total loss’ ia memakan masa, malah saya dapati tuntutan insurans Viva itu pun sangat rendah,”
Simpati dan prihatin dengan kesusahan
Ahli perniagaan itu berkata, simpati dan prihatin dengan kesulitan dialami wanita itu, dia bermurah hati menawarkan sebuah kenderaan terpakai sebagai ganti.
“Hati saya tersentuh bila mengetahui wanita itu ibu tunggal anak tiga dan bimbang dia terputus sumber rezeki, saya membuat keputusan membelikannya Myvi terpakai untuk memudahkan pergerakannya menghantar pesanan dijual menerusi atas talian.
Tidak menuntut sebarang ganti rugi
“Saya dengan rela hati membelikan kereta Myvi itu tanpa perlu dibayar semula wanita itu.
“Malah, saya tidak akan menuntut sebarang ganti rugi termasuk wang tuntutan insurans daripada kemusnahan Viva itu juga menjadi hak wanita itu sepenuhnya untuk kegunaan dan keperluannya,” katanya.
Tak cukup dengan itu, beliau turut membantunya mempromosikan perniagaan atas taliannya.
“Mungkin ini tidak seberapa, tetapi saya harap Myvi ini menjadi pengganti kepada Viva yang rosak itu supaya wanita itu boleh terus mencari sumber pendapatan macam biasa bagi membesarkan anak-anaknya,” katanya.