Hati isteri mana tidak remuk apabila ketua keluarga yang bersusah payah mencari rezeki tiba-tiba meninggal dunia dalam keadaan yang menyedihkan.
Zahlawati Zahlan, 47 isteri kepada allahyarham Mohamed Zaili Mohamed, 44 yang meninggal dunia di tempat kejadian apabila dilanggar dan diseret oleh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki mabuk kira-kira jam 1.30 pagi tadi.
Hilang tempat bergantung
Menerusi Harian Metro, Zahlawati memaklumkan dia tidak akan memaafkan pemandu itu kerana sudah hilang tempat bergantung hanya disebabkan sikap tidak bertanggungjawab individu tersebut.
“Saya tidak maafkan, nyawa tidak boleh diganti dengan wang, saya kini betul-betul hilang arah.”
Lakukan bermacam kerja sambilan
Menurutnya lagi, suaminya melakukan pelbagai pekerjaan sambilan demi menanggung keluarga terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).
“Arwah buat pelbagai kerja termasuk menghantar makanan yang ditempah pelanggan melalui perniagaan kecil-kecilan saya.
Kini saya hilang arah dan punca. Arwah meninggalkan empat anak tiri berusia tujuh hingga 15 tahun dan anak bersama saya berusia 6 tahun.”
Isteri mangsa turut meminta agar kerajaan mempercepat pindaan hukuman berat terhadap pemandu mabuk ini kerana khuatir akan lebih ramai yang menjadi mangsa.
“Undang-undang perlu diperketatkan, suami saya menjadi mangsa, malah bulan ini saja berapa ramai orang yang tidak bersalah menjadi mangsa?
“Kini saya sudah hilang orang tersayang yang mencari rezeki untuk keluarga. Tindakan perlu diambil dengan segera.”