Sky i-City berdepan penutupan operasi oleh Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) susulan pelanggaran peraturan dan insiden kecederaan yang berlaku di taman tema itu.
Kejadian menjadi perhatian selepas seorang pengunjung cedera apabila pelampung dari permainan gelongsor air kaca dipercayai terjatuh dari penyangkut lalu menimpanya.
Sky i-City Ditutup MBSA Susulan Isu Keselamatan, Pengunjung Ditawar Pulangan Wang
MBSA sebelum ini telah mengeluarkan enam notis amaran serta satu kompaun terhadap Sky i-City sejak tahun lalu hingga 23 Januari 2025 kerana beroperasi tanpa kelulusan bertulis. Bagaimanapun, taman tema itu didakwa masih meneruskan operasi sehingga pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan tegas dengan menutupnya.
Susulan kejadian itu, Sky i-City menawarkan pulangan wang kepada pelanggan yang telah membeli tiket. Pengunjung yang terjejas boleh menghubungi talian 03-5521 8800 untuk proses pemulangan atau menukar tiket mereka kepada tarikan lain di i-City.
Menurut jurucakap Sky i-City, pihak pengurusan sedang berusaha untuk menyelesaikan isu berkenaan agar taman tema itu dapat beroperasi semula secepat mungkin. Mereka turut menegaskan komitmen dalam menyokong kempen Visit Selangor 2025 dan Visit Malaysia 2026 bagi terus mempromosikan Selangor sebagai destinasi pelancongan utama.
Dalam perkembangan lain, polis mengesahkan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995, yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.
Kes juga disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan akibat tindakan yang boleh membahayakan keselamatan orang lain.
Setakat ini, Sky i-City masih belum mengumumkan tarikh rasmi untuk kembali beroperasi, namun pihak pengurusan memberi jaminan bahawa mereka sedang berusaha menyelesaikan isu berkenaan bagi memastikan taman tema itu dapat dibuka semula dalam masa terdekat.
Kredit: Sinar Harian