Ahli perniagaan dan pengasas jenama fesyen, Christina Ng atau lebih dikenali sebagai Christy, menarik perhatian ramai apabila menyediakan sebuah surau yang lebih selesa untuk stafnya yang beragama Islam.
Video di bawah:
https://vt.tiktok.com/ZSMRnM7Pf/
Majikan Bukan Islam Prihatin Bina Surau Selesa untuk Staf Muslim
Menerusi perkongsian di TikTok, Christy mendedahkan bahawa sebelum ini, pekerjanya terpaksa solat dalam sebuah bilik kecil yang semakin sempit seiring pertambahan staf. Keadaan itu menyebabkan ada yang perlu menunggu giliran, sekali gus mendorongnya untuk mengambil inisiatif membina ruang solat yang lebih selesa.
“Bilik lama itu memang kosong, tapi bila staf semakin ramai, mereka terpaksa berhimpit dan bergilir untuk solat. Saya tak sampai hati tengok keadaan itu, jadi saya putuskan untuk ubah suai dan jadikan ia lebih selesa,” katanya.
Surau baharu itu direka dengan konsep modern jungle, menggabungkan elemen hijau rimba dan tingkap plastik untuk mencipta suasana yang lebih segar dan menenangkan. Selain itu, Christy turut menyediakan kemudahan seperti sejadah, telekung, dan jubah daripada jenama terkenal Siti Khadijah bagi memastikan stafnya dapat beribadah dengan selesa.
“Pasukan saya sendiri yang mereka konsep dan memilih bahan terbaik, termasuk karpet berkualiti tinggi untuk keselesaan mereka,” tambahnya.
Tindakan Christy mendapat pujian ramai, terutama kerana kepekaannya terhadap keperluan pekerja Muslim, meskipun dirinya bukan beragama Islam. Rata-rata netizen memuji usaha tersebut dan menyifatkannya sebagai contoh majikan yang prihatin terhadap kebajikan staf.
Kredit: TikTok christyemilylove