Artis jelita Uqasha Senrose berkongsi dirinya mengalami keguguran sebanyak dua kali selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga dengan pelakon Kamal Adli.
Menurut laporan mStar Online, Uqasha berkata dia sedar akan perkara itu apabila dia datang haid tanpa henti.
“Dua kali saya gugur, rasa sebak pula bila cakap pasal ini. Mungkin bukan rezeki lagi. Pertama kali saya tak tahu saya mengandung semasa tunaikan umrah.

Saya datang haid tak berhenti, mula-mula ingatkan hormon selepas kahwin dan saya biar sahaja. Semasa umrah bersama suami selepas kahwin saya tak dapat buat ibadah sangat. Kemudian semasa nak Pilihan Raya Umum ke-15 sekali lagi saya datang haid tak berhenti,” katanya.
Susulan perkara itu, Uqasha telah berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan dan dimaklumkan kandungan berusia dua bulannya tidak dapat diselematkan.
Uqasha juga terpaksa menjalani pembedahan akibat darah beku di bahagian peranakkan.
Meskipun sedih akan perkara tersebut, Uqasha berkata dia tetap meneruskan kehidupan seperti biasa apatah lagi dia dan suami belum merancang untuk memiliki cahaya mata lagi.
“Mestilah sedih, siapa yang selepas kahwin tak nak ada anak. Bila dapat tahu mengandung masa itu tertanya-tanya kenapa tak jaga tapi Kamal bagi semangat kata tak apa kita cuba lagi.
“Saya pun lasak masa itu dengan pengambaran dan kerja yang tidak berhenti menyebabkan kandungan yang masih baru tak kuat lagi. Nak kerja itu boleh tapi bukan yang kasar dan berat-berat.
“Alhamdulillah sekarang okay, saya pun sedang jalani pengambaran untuk drama 70 episod jadi saya tak rancang untuk ada anak buat masa ini,” katanya.

Uqasha dan Kamal mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam sebuah majlis diadakan secara tertutup di Janda Baik, Pahang.