Hari Wanita Sedunia disambut semalam atau pada tanggal 8 Mac setiap tahun. Ramai yang mengambil kesempatan ini untuk menunjukkan penghargaan buat wanita yang telah menjadi tulang belakang dalam hidup mereka.
Hari ini disambut bagi menghormati perjuangan wanita dalam mencapai kesamaan, keadilan dan hak mereka dalam pelbagai aspek kehidupan.
Perayaan ini pertama kali dicadangkan dalam Konferensi Antarabangsa Wanita pada tahun 1910 di Copenhagen, Denmark, dan kemudian diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1975.
Namun begitu, ramai juga yang memberi reaksi kurang senang kerana berasa tidak adil akan hari yang dikhaskan buat wanita ini. Segelintir lelaki dilihat mempersoalkan tentang kewujudan hari khas buat mereka, sama seperti wanita di luar sana.
Jangan Risau! Hari lelaki wujud cuma kurang diketahui
Sebenarnya, Hari Lelaki Antarabangsa wujud dan disambut sejak 1992 lagi. Difahamkan, Malaysia mula menyambut Hari Lelaki Sedunia sejak tahun 2016, selari dengan pengumuman Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tahun itu iaitu Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Hari istimewa itu bagi menghargai jasa dan pengorbanan kaum lelaki sama seperti sambutan Hari Wanita yang diadakan selama ini.
Tarikh tersebut ialah tanggal 19 November.
Walaupun tidak sepopular Hari Wanita, Hari Lelaki membolehkan kita menunjukkan penghargaan terhadap sumbangan lelaki dalam keluarga dan masyarakat. Peranan lelaki iaitu ayah, suami, abang, adik dan ketua merupakan peranan yang sangat penting dalam hidup kita.
Selain itu, Hari Lelaki ini juga dikhaskan untuk memupuk kesedaran tentang kesihatan lelaki. Kesihatan lelaki merupakan satu isu penting yang nyata memerlukan perhatian. Sambutan ini dapat memperkukuhkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan lelaki saban tahun.
Kedua-dua sambutan Hari Lelaki dan Hari Wanita boleh membawa kebaikan yang dapat dinikmati masyarakat. Sambutan ini membolehkan kita menghargai peranan masing-masing dalam membina masyarakat yang sejahtera dan memupuk hubungan yang lebih baik antara lelaki dan wanita.
Bolehlah anda simpan tarikh ini supaya ingat untuk tunjukkan penghargaan kepada mereka kelak.
Baca artikel tentang Port Sate terbaik di Kuala Lumpur di sini.
Sumber: Awani