Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dilaporkan maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di bawah kolong sebuah rumah di Kampung Datu Pangeran Batu 7, Sandakan, Sabah pada Isnin.
Meninggal Dunia Di Lokasi Kejadian
Berdasarkan sumber yang dilihat dari Majoriti Official, mangsa iaitu Ridzsfar Jafar, 18, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum tibanya ketibaan pasukan bomba.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan iaitu Severinus Sainkui, beliau memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11.03 pagi untuk bantuan mengangkat mangsa yang terbaring di bawah kolong sebuah rumah.
“Seramai enam anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh sembilan kilometer dari BBP Sandakan. Pasukan bomba yang hadir bertindak mengangkat mangsa menggunakan pengusung dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.
Kata Severinus, operasi tersebut ditamatkan pada pukul 11.59 pagi dan pihaknya telah melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.
Kredit: Majoriti Official