Pelakon terkenal, Nora Danish, memilih untuk mengambil pendekatan lebih sederhana dalam kehidupannya apabila memutuskan untuk melepaskan koleksi kasut tumit tinggi berjenama miliknya yang jarang digunakan.

Terpanggil Selepas Baca Tentang Neraka al-Hutamah, Nora Danish Jual Semua Kasut Tumit Tinggi

Menurut Nora, keputusan itu dibuat selepas beliau melakukan refleksi diri terhadap barangan yang tersimpan di rumah tanpa dimanfaatkan. Katanya, menjual barangan mewah yang tidak digunakan lagi merupakan langkah lebih baik supaya hasilnya boleh disalurkan kepada perkara yang lebih memberi nilai, termasuk keperluan harian dan juga bersedekah.

“Saya refleks balik diri saya, apa yang tak pakai dekat rumah dan simpan. Saya lepaskan. Duit tersebut akan digunakan untuk beli benda baharu yang kita perlukan atau bersedekah. Mana-mana yang bersesuaian dengan anda. Semoga bermanfaat,” ujarnya.

Langkah itu tercetus selepas beliau mengulangkaji catatan daripada kelas agama yang pernah dihadirinya sebelum ini. Ketika itu, Nora membaca semula surah al-Humazah yang menurutnya memberi peringatan keras terhadap individu yang terlalu mementingkan harta dunia sehingga mengabaikan nilai akhirat.

Jelas Nora, ayat dalam surah itu membuka matanya tentang bagaimana manusia yang menjadikan harta sebagai keutamaan melebihi Allah akan menerima balasan di neraka yang dikhususkan, antaranya al-Hutamah, yang menurut tafsir, merupakan antara tingkatan neraka yang sangat dahsyat.

“Pagi tadi (semalam) saya ulang kaji apa yang belajar dekat kelas, terbuka surah al-Humazah tentang golongan pengumpat dan pengkeji yang akan dimasukkan dalam neraka khas iaitu al-Hutamah.

“Neraka ketiga kebawah. Bawah sekali neraka Jahanam, Jahim dan al-Hutamah.

“Neraka ini dibuat untuk golongan pengumpat dan pengkeji termasuk golongan yang menghitung harta iaitu meletakkan harta lebih dari Allah,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, beliau juga pernah berkongsi bahawa kehadirannya dalam majlis-majlis ilmu memberi impak besar terhadap keputusannya untuk tampil lebih sopan dan bertudung.

Kredit: Kosmo!

 

 

[fbcomments]