Kehadiran tiga beradik berbangsa Cina dalam Program Khatan Perdana 2025 di Hospital Tanah Merah mencuri perhatian apabila mereka menyertai lebih 60 kanak-kanak lain dalam program tersebut.

Tan Xavier, 12, Tan Xaden, 11, dan Tan Xarel, 8, mengambil keputusan untuk berkhatan secara sukarela setelah memahami kepentingan prosedur itu dalam aspek kebersihan dan kesihatan.

Tiga Beradik Berbangsa Cina Teruja Sertai Program Berkhatan Perdana

Menurut ibu mereka, Tan Bee Kam, 40, amalan berkhatan bukan sesuatu yang asing dalam keluarganya kerana majoriti ahli keluarga lelaki telah menjalani prosedur tersebut.

“Sejak tahun lalu, saya telah bertanya mengenai kos berkhatan di beberapa klinik swasta dan dimaklumkan harganya sekitar RM180 seorang. Namun, apabila dimaklumkan oleh rakan sekampung mengenai program percuma ini, saya terus bertanya kepada anak-anak sama ada mereka berminat untuk menyertainya.

“Ketiga-tiga anak saya begitu teruja dan asyik bertanya tarikh majlis berkhatan dan pada pagi tadi mereka bangun seawal jam 5 pagi untuk bersiap,” katanya ketika ditemui.

Jelas Tan Bee Kam, berkhatan secara beramai-ramai memberi pengalaman yang berharga buat anak-anaknya kerana mereka tidak berasa takut, malah menikmati suasana meriah program tersebut.

“Selain menjalani prosedur berkhatan, mereka turut berpeluang dimandikan dengan pili bomba serta menikmati hidangan pulut bersama peserta lain. Ini menjadikan pengalaman mereka lebih istimewa dan mengurangkan rasa gementar,” tambahnya.

Beliau juga berhasrat untuk memastikan anak-anaknya menjalani tempoh pemulihan dengan baik dan berpantang secukupnya agar cepat sembuh. Selain itu, anak bongsunya yang kini berusia empat tahun turut akan menjalani prosedur sama apabila tiba masanya, namun keputusan tetap diberikan kepada mereka tanpa sebarang paksaan.

Sementara itu, Tan Xavier menyatakan bahawa dia bersama adik-adiknya sudah lama ingin berkhatan kerana memahami kepentingannya dalam menjaga kebersihan diri.

“Rasa seronok sangat nak sunat (berkhatan) hari ini, ditambah pula ramai kawan-kawan sekaligus perasaan takut terus hilang,” katanya.

Program Khatan Perdana 2025 Peringkat Hospital Tanah Merah itu turut dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin.

Kredit: Harian Metro

 

[fbcomments]