Seorang lelaki di Kampung Bukit Piatu, Melaka dilaporkan terlantar sakit dan hidup bersendirian dalam keadaan yang menyedihkan apabila hanya ditemani seekor ayam dan seekor kucing di rumahnya yang tidak terurus.
![]()
Video di bawah:
https://vt.tiktok.com/ZShrKBLaC/
Lelaki Terlantar Sakit, Hanya Bertemankan Ayam dan Kucing di Rumah Usang
Keadaan lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Pakcik Mazalan, terbongkar selepas lawatan dilakukan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin, bersama beberapa wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Menurut wakil JPKK, tahap kesihatan Pakcik Mazalan semakin merosot sejak awal tahun ini dan beliau kini tidak lagi mampu menguruskan diri. Difahamkan, beliau tidur dan makan bersama ayam di dalam rumah, manakala kawasan kediaman tersebut kelihatan tidak terurus dengan makanan yang terbiar.
![]()
Jiran tetangga memaklumkan bahawa mereka pernah cuba menghulurkan bantuan termasuk membersihkan rumahnya, namun usaha tersebut tidak diterima apabila mereka dihalau oleh Pakcik Mazalan yang dipercayai tidak sihat secara fizikal dan mental.
Susulan laporan yang diterima, pihak berkuasa bertindak segera membawa beliau ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut. Pakcik Mazalan kemudian akan dipindahkan ke pusat jagaan bagi memastikan beliau mendapat penjagaan yang lebih baik. Segala kos berkaitan akan dibiayai oleh pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.
![]()
Sementara itu, rata-rata netizen meluahkan rasa simpati terhadap nasib Pakcik Mazalan selepas kisahnya tular di media sosial. Ramai yang bertanya mengenai keluarga beliau, dan menurut maklumat daripada penduduk, isteri beliau telah meninggal dunia dan pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata. Difahamkan juga, beliau kini dijaga secara tidak rasmi oleh anak saudaranya.
![]()
Kredit: TikTok kalsomnoordin