Tolong doakan anak-anak kami.
Itulah permintaan ibu bapa pelajar Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) di Senawang Industrial Park, apabila disahkan seramai 60 pelajar termasuk kakitangannya disahkan positif Covid-19.
Menurut laporan tinjauan Sinar Harian di sekolah berkenaan mendapati, ibu bapa yang datang untuk menghantar barang kepada anak mereka hanya mampu melambaikan tangan dari jauh selepas meninggalkan barang di atas meja di luar pagar bangunan.
Hilang deria bau
Bapa pelajar Abdul Rauf Abdul Rahman, 44, berkata, dia pada mulanya terkejut apabila diberitahu terdapat kes di sekolah itu.
Terkejutlah… tapi kes ini satu dunia. Anak saya di Tingkatan Tiga dan tadi dia beritahu deria baunya mula hilang. Tapi ujian saringan pertama dilakukan adalah negatif, yang kedua pula keputusannya belum keluar lagi.
Apa yang dapat kita buat sekarang adalah berdoa dan terus beri semangat, minta anak-anak bersabar.
Doakan anak-anak kami
Tolonglah doakan anak-anak kami semuanya selamat.
Seorang ibu pelajar sekolah terbabit berkata, sehingga kini dia masih takut untuk menunggu keputusan saringan anaknya yang berusia 17 tahun.
Masa mula-mula saya memang tak boleh terima kerana terlalu risau. Tapi bila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dah datang ke sekolah buat saringan dan anak pun sihat, saya sedikit lega.