Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tampil memohon maaf atas dialognya yang berunsur lucah dalam drama bersiri Kudeta baru-baru ini.
Dalam drama bersiri yang ditayangkan di Astro itu, Dr Maszlee memegang watak seorang bekas perdana menteri yang dipenjara. Babak Maszlee mengucapkan dialog lucah itu telah tular di media sosial. Dialog yang menghina kaum wanita itu telah mendapat banyak respons negatif dari netizen.
Sususal dari penularan babak tersebut, Maszlee melalui akaun Facebooknya telah memohon maaf secara terbuka.
“Saya, Dr Maszlee bin Malik ingin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua terutamanya kepada kaum wanita di mana jua kalian berada
“Saya mengakui kekhilafan dan kesilapan kerana melakonkan watak perdana menteri jahat di penjara yang telah menggunakan perkataan yang tidak sepatutnya, yang telah mengganggu kesejahteraan emosi dan minda semua.” Katanya.
Dr Maszlee juga mengajak rakyat untuk menonton drama Kudeta yang berunsur politik, thriller dan aksi di Astro.
Anda boleh menyaksikan drama Kudeta setiap hari Ahad di Astro Go dan On Demand, setiap hari Isnin pada jam 9.00 malam di saluran Astro Ria 104 dan setiap hari Jumaat pada jam 10.00 malam di PRIMETime 704.