Seorang wanita dilaporkan nyaris menjadi mangsa cubaan culik di hadapan sebuah premis di Bandar Saujana Putra, dalam kejadian yang berlaku pada awal pagi Khamis lalu.
Insiden yang mengejutkan itu dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut.
Video di bawah:
https://x.com/ricxxxkiddo/status/1883128765930447242?s=46&t=lOtDPMyIYmtDu_EQulWeUw
Wanita Hampir Menjadi Mangsa Cubaan Culik, Polis Jalankan Siasatan
Berdasarkan rakaman CCTV, seorang lelaki dilihat menghampiri wanita tersebut dari arah belakang sebelum cuba menyerkup kepalanya menggunakan beg plastik putih. Namun, cubaan itu gagal apabila mangsa sempat menyedari tindakan suspek, berpaling ke belakang, dan melarikan diri.
Suspek yang menyedari rancangannya tidak berjaya turut bertindak melarikan diri daripada lokasi kejadian. Insiden itu berlaku sekitar jam 4.37 pagi, menurut rakaman CCTV yang kini menjadi bahan bukti utama.
Mangsa dipercayai telah meminta salinan rakaman tersebut daripada salah satu premis berhampiran untuk tindakan lanjut. Pemilik rakaman CCTV itu mengesahkan bahawa mangsa hadir ke kedainya pada pagi kejadian untuk mendapatkan salinan video berkenaan.
Kejadian ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang awam, terutama selepas rakaman insiden itu tular di media sosial. Ramai meluahkan kerisauan dan berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas bagi memastikan keselamatan komuniti di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi, memaklumkan bahawa pihak polis sedang berusaha mengesan wanita yang terlibat dalam rakaman tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut serta mengenal pasti motif kejadian.
Kredit: Kosmo!, X ricxxxkiddo