Seorang warga emas yang bernama Zulkarnain, menjadi perhatian ramai apabila mencatatkan rekod peribadi luar biasa dengan menderma darah sebanyak 477 kali sejak tahun 1988.
Tindakan mulia beliau tidak hanya menyelamatkan nyawa, tetapi turut memberi inspirasi kepada masyarakat untuk melakukan perkara sama.
Warga Emas Catat Rekod Derma Darah Sebanyak 477 Kali Sejak 1988
Menurut perkongsian di laman Facebook Derma Darah Kelantan, Zulkarnain memulakan perjalanan derma darahnya lebih tiga dekad lalu di Pusat Darah Negara dan kini meneruskan amalan tersebut di Kelantan, tempat beliau menetap.
“Encik Zulkarnain telah menderma darah lebih 400 kali dan memulakan amalan ini sejak 1988. Ini kali ke-477 beliau menderma darah, dan tidak terkira jumlah nyawa yang telah diselamatkannya. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada beliau,” menurut kenyataan itu.
Netizen turut membanjiri ruangan komen dengan ucapan penghargaan atas usaha tanpa henti Zulkarnain dalam membantu mereka yang memerlukan. Ramai meluahkan rasa bangga terhadap pengorbanan beliau, di samping mendoakan kesihatan dan kesejahteraannya.
Sebahagian pengguna media sosial turut menyeru orang ramai agar mengikuti jejak langkah beliau dengan menderma darah secara sukarela.
Tindakan ini bukan sahaja menjadi bukti semangat kemanusiaan, tetapi juga menyumbang kepada bekalan darah negara yang amat penting dalam menyelamatkan nyawa pesakit.
Kredit: Facebook Derma Darah Kelantan