Teknologi kini melangkaui batas imaginasi, membawa kita ke dunia maya yang penuh keajaiban melalui pengalaman realiti lanjutan (XR). IOI City Farm di IOI City Mall, Putrajaya, menjadi destinasi terkini yang memperkenalkan inovasi ini dengan pameran interaktif bertemakan “Warna Harimau Bintang”.
Pameran ini menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung untuk mencipta dan menghidupkan watak seekor harimau bintang maya bernama LiBo. Dengan menggunakan cermin mata pintar berteknologi tinggi keluaran Jorjin Technologies dari Taiwan, pengunjung dapat mewarnai LiBo mengikut kreativiti masing-masing dan melihatnya “hidup” dalam dunia maya melalui teknologi realiti campuran (MR) dan kecerdasan buatan (AI).
Projek ini adalah hasil kerjasama strategik antara Jorjin Technologies, LiMART, Baby Sports, dan IOI City Farm, dengan sokongan Taipei Economic & Cultural Office (TECO) di Malaysia. Pelancaran rasmi pameran ini berlangsung pada 5 Disember 2024 dengan kehadiran beberapa tokoh penting, antaranya Encik James Chang iaitu Pengarah Bahagian Ekonomi TECO di Malaysia, Encik Kent Siew iaitu Pengurus Taman IOI City Farm, dan ramai lagi.
Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran 10 kanak-kanak dan remaja dari Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR). Melalui aktiviti ini, mereka dapat menikmati pengalaman baharu yang menggabungkan teknologi dan pendidikan.
Pameran ini dijangka menarik lebih daripada 5,000 pengunjung, termasuk pelajar sekolah, keluarga, dan peminat teknologi. Apa yang lebih menarik, ia dirancang untuk berlangsung selama sebulan, bermula dari 4 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025. Waktu operasi adalah seperti berikut:
– Isnin hingga Jumaat: 12:00 tengah hari hingga 6:00 petang
– Hujung minggu & cuti umum: 1:00 petang hingga 7:00 petang
Selain itu, aktiviti ini memberikan peluang kepada generasi muda untuk mendalami teknologi inovatif, yang mana ia selari dengan misi Jorjin Technologies untuk membawa lebih banyak projek realiti lanjutan ke Malaysia.
Berpengalaman lebih 10 tahun dalam pembangunan teknologi XR, Jorjin Technologies berhasrat untuk terus memperkenalkan inovasi yang mampu menghubungkan dunia fizikal dan maya. Cermin mata pintar yang digunakan dalam pameran ini adalah bukti keupayaan teknologi Taiwan dalam meneroka potensi baru, menjadikan pendidikan dan hiburan lebih interaktif.
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman teknologi canggih ini. Hadirkan diri ke IOI City Farm dan saksikan bagaimana teknologi menghidupkan imaginasi anda!