Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha, meluahkan hasrat untuk menjual meja snuker di kediamannya kerana tidak sanggup lagi melihat perabot tersebut yang menyimpan kenangan pahit dalam hidupnya.
Zaquan Adha Mahu Jual Meja Snuker, Enggan Terus Dibayangi Kenangan Sedih
Menerusi perkongsian di Insta Story, Zaquan mendedahkan bahawa meja snuker itu menjadi tempat di mana beliau dan isterinya, Ayu Raudhah, meletakkan anak mereka, Allahyarham Muhammad Aisy Al Raees Mohamad Zaquan Adha, untuk diberikan bantuan pernafasan sementara menunggu ketibaan ambulans.
Menurutnya, ketika itu, beliau dan isteri berusaha sedaya upaya memberikan bantuan kecemasan apabila menyedari anak mereka tidak lagi bergerak. Detik cemas tersebut meninggalkan kesan yang mendalam dalam kehidupan mereka sekeluarga.
“Saya nak jual table ni. Sebab dekat atas table ni lah saya dan Ayu letak Baby Raees untuk buat CPR sementara tunggu Ambulans sampai,” luahnya dalam hantaran tersebut.
Zaquan turut menyatakan bahawa selagi meja itu masih ada di rumah, ia akan terus mengingatkannya kepada peristiwa memilukan tersebut. Justeru, beliau mengambil keputusan untuk menjualnya dan meminta sesiapa yang berminat untuk menghubunginya menerusi mesej peribadi (DM).
“Selagi ada table ni, saya akan sentiasa teringat saaat-sat getir ketika cuba sedaya upaya selamatkan Raees. Jika ada yang betul-betul minat boleh DM saya,” tambahnya.
Dalam pada itu, Zaquan turut berkongsi gambar pakaian terakhir Allahyarham Baby Raees yang diberikan kepadanya oleh pihak Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban. Selain itu, beliau juga sempat memuat naik kenangan manis bersama keluarganya ketika bercuti beberapa minggu lalu, yang menjadi percutian terakhir mereka bersama anak bongsu tersayang.
Kredit: Instagram zaqone_08