Rezeki tidak pernah salah alamat.
Begitulah ungkapan yang sesuai untuk menggambarkan situasi dialami seorang penghantar makanan yang menerima upah RM100 meskipun caj penghantarannya hanya bernilai RM5.
Muhammad Zulhairi Abdul Malek, memberitahu dia terkejut dengan upah yang diterimanya selepas menghantar kek kepada pelanggan yang dipesan daripada seorang peniaga.
Hantar pesanan ketika hujan
“Petang Khamis tu hujan turun sangat lebat. Pelanggan ada beritahu saya untuk tunggu dulu hingga hujan reda.
“Saya kesian pula sebab dah 45 minit dia tunggu, jadi saya pun redah juga hujan lebat dalam pukul 4:30 petang, sebab saya pun nak balik rumah terus selepas selesai buat penghantaran,” ujar Zulhairi yang menetap di Cheras.
Tambahnya lagi, jarak antara kedua-dua rumah tersebut hanya dua kilometer sahaja. Namun disebabkan hujan, makanan tersebut tiba sedikit lewat.
“Sewaktu saya nak ambil kek daripada peniaga tersebut, dia ada beri dua bungkusan. Satu untuk pelanggan dan satu lagi untuk saya. Masa tu saya tak perasan pun ada sampul.
“Ketika saya hantar kek di rumah pelanggan pula, tuan rumah ada berikan saya satu sampul. Tak sempat saya nak cakap terima kasih masa tu sebab hujan sangat lebat.”
Hujan Rahmat
Selepas selesai menghantar makanan, Zulhairi singgah di sebuah perhentian bas untuk makan kek yang diterimanya sementara menunggu hujan reda.
“Sewaktu nak makan tu, saya tengok dalam kedua-dua sampul ada RM50. Terkejut juga saya pada waktu.
“Banyak betul mereka bagi sedangkan Alam Damai ke Damai Perdana tidak jauh mana. Mungkin rezeki saya sebab hantar makanan dalam hujan…” ujar Zulhairi yang memberitahu dia basah kuyup pada waktu itu kerana tidak memakai baju hujan.