Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menjadi syarikat automotif pertama menurunkan harga semua model keluarannya antara tiga hingga enam peratus berkuatkuasa hari ini.
Peneraju pasaran automotif tempatan dalam satu kenyataan berkata, pengurangan harga itu bagaimanapun dipecahkan dua slot iaitu bermula hari ini hingga 14 Jun membabitkan pemberian rebat tunai untuk mengurangkan harga sebelum harga rendah berkenaan dikekalkan sepanjang tempoh pengurangan cukai.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata senarai harga baharu semua modelnya selaras dengan pengumuman kerajaan mengenai pengecualian cukai jualan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan import sepenuhnya (CBU) bermula 15 Jun hingga 31 Disember dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
“Walaupun tempoh pengurangan cukai bermula 15 Jun 2020, PERODUA akan memberikan rebat tunai antara tiga hingga enam peratus bagi pembelian kenderaan kami bermula hari ini.