Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, meluahkan rasa syukur apabila berjaya menyalurkan sumbangan lebih RM1 juta kepada warga Muar hasil kolaborasi bersama jenama fesyen tempatan terkenal.

Video di bawah:

https://www.instagram.com/reel/DF-LAcZS4Lx/?igsh=MWJmcWg3c2k1Z3NneA==

Syed Saddiq Salur Sumbangan Lebih RM1 Juta kepada Warga Muar

Menurut Ahli Parlimen Muar itu, bantuan tersebut tidak diberikan dalam bentuk wang tunai, sebaliknya diagihkan melalui pakaian dan barangan keperluan harian untuk golongan memerlukan.

“Prima Valet dah menyumbang lebih RM1,000,000 ke Parlimen Muar, tapi bukan dalam bentuk duit.

“3,456 baju Melayu dan baju kurung untuk kanak-kanak, 1,625 baju Melayu dan baju kurung untuk orang tua, 500 telekung Nur Aisyah, 500 jubah Ustaz Azhar Idrus dan 800 bakul makanan besar,”  ujarnya di Instagram.

Dalam hantaran tersebut, Saddiq menjelaskan bahawa usaha tersebut dapat direalisasikan selepas beberapa inisiatif kolaborasi, termasuk dengan pelakon terkenal, Bella Astillah.

Beliau turut berkongsi bahawa pelbagai usaha telah dilakukan bagi memastikan sumbangan ini berjaya, termasuk menyertai sesi penggambaran dan melakukan aktiviti seperti mendaki Gunung Kinabalu.

Namun, usaha Saddiq tidak terlepas daripada kritikan. Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, sebelum ini menegur beliau agar tidak melupakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Syerleena turut menegaskan bahawa sekiranya Saddiq tidak mampu memberi keutamaan kepada tugasnya, beliau boleh melepaskan jawatan.

Nama Saddiq sebelum ini kerap menjadi perhatian di media sosial apabila sering dikaitkan dengan aktres Bella Astillah, termasuk selepas mereka bersama-sama menawan puncak Gunung Kinabalu baru-baru ini.

Kredit: Instagram Syed Saddiq

 

 

 

 

[fbcomments]