Zarina Zainuddin yang juga pelakon senior dan usahawan kosmetik meluahkan rasa kecewa terhadap barisan artis baharu yang bersikap sombong dengan kru produksi dan pelakon yang lebih senior.
Perkongsian Zarina itu mendapat reaksi warganet yang rata-rata bersetuju dengan pendapat beliau.
Menerusi video yang dikongsikan, Zarina menasihati pendatang baharu dalam industri seni supaya lebih menghormati kru serta barisan pelakon yang lebih tua.
“Sebenarnya apabila shooting ni, kita satu family besar… tak boleh sombong-sombong, bawa diri.
“Jangan nak berlagak duduk dalam kereta dan tak campur orang langsung… Time makan pun tak nak campur.”
Kesal dengan sikap segelintir pelakon baharu
“Bukannya kau selamanya di atas. Satu hari nanti kalau kau dekat bawah baru kau nak terhegeh-hegeh dekat orang lain, baru nak tegur-tegur orang… Masa tu orang pun tak layan kau,” ujarnya.
Zarina puji Mira Filzah
Dalam pada itu, Zarina turut memuji sikap pelakon terkenal Mira Filzah yang pandai membawa diri di set penggambaran dan menghormati pelakon yang lebih berpengalaman.
Beliau turut menyifatkan Mira Filzah sebagai seorang artis baharu yang pandai menjaga diri dan bergaul dengan semua kru yang bertugas di set penggambaran.
“Dengan orang tua-tua dia hormat. Kalau dia tahu ada pelakon lama dia yang akan cari, bukan kita yang cari dia,” katanya.
Jangan diva-diva sangat la, nasihat Zarina
Zarina turut berkata mereka perlu pandai membawa diri demi nama baik sendiri jika mahu kerjaya bertahan dalam industri seni.
“Nasihat saya kepada pelakon-pelakon baharu di luar sana, jangan diva-diva sangat la.
“Jangan perasan la… Kau jangan perasan kau bagus sangat.
“Kita kena pandai bawa diri… Kalau pandai bawa diri, dah jadi nenek pun orang akan panggil lagi untuk berlakon sebab tak banyak perangai dan tak banyak kerenah,” katanya.