Polis sedang menjalankan siasatan berhubung insiden serangan melibatkan dua penunggang motosikal di sebuah persimpangan lampu isyarat di Johor Bahru yang tular di media sosial baru-baru ini.
Video di bawah:
https://x.com/mynewshub/status/1904292026646134890?s=46&t=lOtDPMyIYmtDu_EQulWeUw
Kepala Lelaki Dipukul Berkali-Kali di Lampu Isyarat, Polis Buru Suspek
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, memaklumkan bahawa pihaknya telah mengesan video kejadian yang dimuat naik di TikTok serta menerima laporan rasmi daripada mangsa.
Mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 29 tahun membuat laporan polis pada jam 4.29 petang semalam, mendakwa kejadian berlaku pada jam 4.40 petang kelmarin di persimpangan Jalan Tampoi dan Jalan Persiaran Tanjung.
Berdasarkan siasatan awal, insiden dipercayai berlaku selepas mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat sebelum tercetusnya pertengkaran dengan seorang lelaki yang tidak dikenali. Suspek kemudian bertindak menyerang mangsa dengan beberapa hentakan di kepala sebelum beredar sebaik lampu isyarat bertukar hijau.
Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara bagi kesalahan mencederakan individu.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563122 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, rakaman video berdurasi 23 saat yang memaparkan kejadian tersebut telah menarik perhatian pengguna media sosial, menunjukkan seorang lelaki bertindak agresif dengan memukul kepala mangsa sebanyak enam kali sebelum meninggalkan lokasi kejadian.
Kredit: X mynewshub