Setelah lima bulan bertarung dengan keadaan kesihatan yang semakin merosot, adik Che Umar Rais Che Fairollah, 4 tahun, telah menghembuskan nafas terakhir pada tengah hari semalam di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Terlantar Sakit Lepas Jatuh Dalam Kolam Renang, Adik Umar Meninggal Dunia
Berita duka itu dikongsikan ibunya, Nurul Izzati Barni, yang menerima panggilan cemas dari pihak hospital sekitar jam 11 pagi. Doktor memaklumkan keadaan jantung Umar semakin lemah dan memerlukan bantuan mesin pernafasan.
“Kebetulan, saya dan suami (Che Fairollah Che Mezam, 40) memang dalam perjalanan ke HSB. Tapi waktu sampai, kami diberitahu Umar sudah meninggal dunia.”
“Sebagai ibu, tentunya saya sangat sedih. Bagaimanapun, saya reda dengan ketentuan Allah SWT kerana Umar pun sudah lama sakit dan kini hilang sakitnya di dunia,” kongsi Nurul Izzati dengan penuh hiba.
Jenazah Umar kini berada di Jabatan Forensik untuk urusan pengebumian. Menurut keluarganya, jenazah akan disolatkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid As-Saadah Kampung Tebengau selepas solat Asar, jika tiada halangan.
Nurul Izzati juga meluahkan rasa terima kasih kepada semua yang pernah mendoakan dan memberi sokongan kepada keluarganya sepanjang tempoh mencabar ini.
“Mohon semua sedekahkan al-Fatihah buat Umar dan terima kasih sangat kepada semua yang menitipkan doa, kata semangat juga sumbangan buat anak saya sebelum ini. Saya sudah kehilangan Umar buat selamanya tapi syukur kerana berpeluang menjaganya… semalam pun sempat pegang tangannya sebelum dia tidur dengan nyenyak,” ujarnya lagi.
Kisah Umar sebelum ini pernah tular di media sosial apabila video dan gambar keadaan anak bongsu itu dimuat naik di TikTok oleh ibunya. Umar, yang dahulunya ceria dan aktif, terlantar sakit selepas insiden lemas di sebuah kolam inap desa ketika bercuti bersama keluarganya.
Semoga roh adik Umar dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.
Kredit: Harian Metro