Disebabkan kecuaian dan sikap buruk orang lain, isteri hilang tempat bergantung dan anak menjadi yatim. Itulah dialami oleh keluarga arwah Mohamed Zaili Mohamed,44, yang maut dirempuh pemandu mabuk.
Isteri mangsa, Zahlawatti Dahlan ,47, memberitahu bahawa kini anak-anaknya sudah mula bertanyakan mengenai bapa mereka, terutama sekali anak yang masih kecil, Aleesya Zailiza yang berusia 6 tahun.
Bila terjaga tanya mana papa
Zahlawatti memberitahu, anaknya itu sering kali memanggil bapanya pada setiap waktu malam dan menangis mengenangkan arwah yang sudah tiada lagi disisi.
“Semalam beberapa kali dia terjaga, dia tengok saya, tanyakan mana papa (Mohamed Zaili), saya sebak bila dia tanya macam tu, dia masih kecil tak tahu apa yang berlaku…”
Penyayang & suka bergurau dengan anak
Tambahnya, arwah disifatkan sebagai bapa penyayang dan suka bergurau dengan anak-anaknya, masih terngiang-ngiang gelak tawa arwah suaminya membuat Zahlawatti bertambah hiba.
“Sehingga kini, gurau manja suami saya dengan anak-anak masih lagi terngiang-ngiang, rasa sedih sangat…”
“Arwah seorang suami yang sangat baik, antara kami memang tak pernah nak gaduh, arwah pun tak pernah tinggikan suara kepada saya dan anak-anak…”
Kini, hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan ibu kepada lima orang anak ini, apabila hilang tempat bergantung dan teman hidup yang selama ini menjadi tunjang utama dalam keluarga telah pergi buat selamanya.