Pasangan selebriti media sosial, Ryzal Ibrahim dan Maryam Younarae atau lebih dikenali sebagai ‘Durian Kimchi’, menyambut kehadiran cahaya mata kedua mereka pada awal pagi 19 Februari 2025.
Maryam ‘Durian Kimchi’ Selamat Lahirkan Anak Lelaki, Tarikh Sama Dengan Hari Jadinya
Berita gembira itu dikongsikan oleh Ryzal di media sosial, yang turut memuat naik gambar pertama bayi lelaki mereka. Menurutnya, Maryam selamat melahirkan anak mereka pada jam 2.29 pagi dengan berat 3.67 kilogram. Lebih istimewa, tarikh kelahiran anak lelaki mereka turut sama dengan ulang tahun kelahiran Maryam yang ke-33.
“19th February 2025, 2:29AM, 3.67kg, lahirnya putera kami bersamaan hari kelahiran ibunya, Maryam pada 19th February 1992,” tulis Ryzal dalam perkongsian tersebut.
Dalam hantaran yang sama, pasangan ini turut meluahkan rasa syukur atas kurniaan rezeki daripada Allah S.W.T dan berdoa agar dapat membesarkan anak mereka dengan penuh kasih sayang serta tanggungjawab.
Di ruangan komen, ramai pengikut serta rakan selebriti mengucapkan tahniah atas kelahiran bayi lelaki mereka. Warganet juga tidak ketinggalan mendoakan kesihatan Maryam sepanjang tempoh berpantang dan kesejahteraan keluarga kecil ini.
Untuk rekod, Ryzal atau nama sebenarnya Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim, mendirikan rumah tangga dengan Maryam Younarae pada 15 Ogos 2019 di Korea Selatan. Pasangan ini sebelum ini telah dikurniakan seorang anak perempuan, Rina, yang kini berusia tiga tahun.
Kredit: Instagram ryzalibrhm