Akibat terdesak mahu menampung perbelanjaan harian dan demi melangsungkan kehidupan dikala pandemik Covid-19 melanda, segelintir peniaga dan penduduk terpaksa mengambil risiko dengan membuat pinjaman daripada ceti haram atau ahlong.
Buat pinjaman dengan 3 ahlong berlainan
Malah menurut laporan yang dipetik dari akhbar Harian Metro, ada di antara mereka ini membuat pinjaman sehingga dengan tiga ahlong! Tindakan itu dibuat kerana berlaku tekanan untuk membayar balik pinjaman ahlong terdahulu dalam tempoh yang ditetapkan.
Difahamkan lagi, sebenarnya ramai je lagi yang membuat pinjaman segera itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac lalu akibat Covid-19.
Terkesan dengan bebanan perbelanjaan ketika PKP
Peminjam yang ingin dikenali sebagai Nisah berusia 42 tahun ini berkata dia terpaksa membuat pinjaman segera itu kerana bebanan perbelanjaan ketika PKP.
Katanya, dia sanggup berdepan risiko jika gagal membayar balik kerana sudah buntu memikirkan keadaan itu dan tidak ada sumber pendapatan tetap.
Saya pernah berdepan tekanan untuk membayar balik pinjaman itu dalam tempoh ditetapkan hingga terpaksa pula membuat pinjaman dengan ahlong lain.
Saya pinjam wang dengan ahlong kedua untuk bayar balik pinjaman ahlong pertama. Itulah cara difikirkan perlu pada musim terdesak sekarang.
Sukar dapat kerja & terdesak perlukan duit
Seorang lagi peminjam yang ingin dikenali sebagai Alim berusia 39 tahun ini pula berkata, dia terpaksa meminjam dalam keadaan terdesak dan ketika itu dia sukar mendapat kerja sejak Covid-19 melanda manakala perniagaan yang di usahakannya pula merudum teruk.
Katanya, pinjaman daripada ahlong itu adalah jalan kesudahan untuk menampung belanja dalam keadaan terdesak termasuk menambah modal perniagaan.
Apapun, saya bersyukur kerana setakat ini masih dapat bertahan dan membuat bayaran balik pinjaman itu mengikut jadual ditetapkan.