Enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati atas kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, kini mendapat perhatian semula selepas salah seorang peguam mereka memohon keputusan itu dikaji semula.
Peguam Dakwa Hukuman Gantung Enam Bekas Penuntut UPNM Tidak Selamat, Mohon Mahkamah Ketepikan
Menurut laporan Berita Harian, Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhammad Najib Mohd Razi berpendapat bahawa hukuman terhadap anak guamnya tidak wajar dan sepatutnya diketepikan. Beliau berhujah bahawa keterangan terhadap Muhammad Najib tidak cukup untuk membuktikan kes prima facie bagi kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mahupun di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.
Peguam itu juga mendakwa Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam bergantung kepada keterangan saksi pendakwaan ke-27 (SP27), iaitu pemilik seterika yang dikatakan digunakan dalam kejadian tersebut. Selain itu, beliau turut mempertikaikan kredibiliti dua lagi saksi pendakwaan, iaitu SP24 Ahmad Senabil Mohamad dan SP25 Mohd Syafiq Abdullah, yang juga merupakan bekas pelajar UPNM.
“Jika berbuat demikian, Mahkamah Tinggi akan mendapati keterangan mereka tidak mempunyai kredibiliti. Mahkamah Rayuan melakukan kesilapan serupa.
“SP24 ditahan dan direman 14 hari atas tuduhan menyebabkan kematian mangsa dan beliau memberi keterangan terhadap tahanan lain untuk menyelamatkan diri,” katanya.
Oleh itu, beliau memohon agar Mahkamah Persekutuan membebaskan dan melepaskan Muhammad Najib daripada hukuman yang dikenakan.
Untuk rekod, pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam tertuduh selepas mendapati mereka bersalah menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat membunuh di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan. Namun, keputusan itu kemudian diubah kepada hukuman gantung sampai mati setelah Mahkamah Rayuan mengesahkan mereka bersalah atas pertuduhan membunuh.
Kredit: Berita Harian