Kalau sebelum ini, sebuah restoran terkenal nasi kandar di Pulau Pinang diarahkan tutup selama 14 hari selepas Majlis Bandaraya Pulau Pinang menjumpai najis tikus di premis makanan itu. Kini giliran Kedai Anuar Kari Kepala Ikan di Bangsar pula menerima nasib yang sama.
Premis makanan yang menyediakan menu popular kari kepala ikan di Lorong Ara Kiri 3, Lucky Garden diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Premis tersebut didapati beroperasi dalam keadaan kotor dan tidak dibersihkan sehingga boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan orang awam.
Menurut kenyataan, premis itu telah diberi tempoh selama 14 hari bermula semalam (10 Februari 2020) sehingga 24 Februari ini. Dalam tempoh itu, pihak pengurusan restoran itu diarah untuk melakukan kerja-kerja pembersihan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.