Di sebalik apa yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Begitu juga apa yang terjadi kepada anak penyanyi, To’ki, Noor Hidayah. Meskipun teruk dikecam, namun dia akui terpanggil untuk bertemu bapanya selepas membaca nasihat dan teguran daripada netizen.
Noor Hidayah atau mesra dengan sapaan Yaya berkata, mereka bertemu pada Jumaat lalu selepas empat tahun tidak bertemu.
Terkesan dengan teguran netizen
“Awalnya, saya cukup terkesan dengan komen netizen, tetapi apabila direnung semula, teguran mereka memberi kesedaran. Walaupun macam mana pusingnya dunia, dia tetap ayah saya, tiada apa yang dapat mengubah hakikat itu.
“Alhamdulillah, berkat nasihat yang baik dan doa orang ramai, saya bertemu dengan ayah selepas empat tahun tidak berjumpa. Hubungan kami sekarang baik-baik sahaja, malah jujurnya, saya gembira hingga menitiskan air mata.
Disebalik kisah tular, dapat bertemu ayah
“Sememangnya setiap apa yang terjadi, ada hikmahnya. Disebabkan kisah tular, saya dapat berjumpa ayah.”
Bercerita lanjut, Yaya bersama suami bertemu ayahnya pada Jumaat lalu, kemudiannya kembali membawa adik-adik yang lain pada hari berikutnya.
“Selepas kisah ayah tular, hati saya memang mahu bertemu ayah. Sebelum berjumpa, kami ada berbual di telefon. Apabila saya dan suami mahu keluar makan, kami mengajak ayah sekali pada Jumaat lalu.
“Esoknya, saya datang berjumpa ayah bersama adik-adik pula. Saya juga berkesempatan melihat rumah ayah dan kemudiannya, kami keluar makan bersama.”
Terubat rindu, dapat bersatu
Yaya turut meluahkan rasa syukur melihat ayahnya sudah mempunyai tempat tinggal selesa didiami bersama isteri baharunya itu dan tidak dinafikan bahawa dia juga sangat gembira, rindunya selama ini telah terubat.
“Bukan kami sahaja, malah ayah juga kelihatan gembira dapat bersatu semula dengan anak, cucu dan menantu”
“Melihat ayah bahagia bersama isterinya sekarang, kami juga gembira. Isterinya baik, melayan kami seperti keluarga sendiri ketika kami ke rumahnya.”
“Selepas apa yang terjadi, kami adik beradik merasakan ayah layak untuk hidup gembira dan sekarang, kami mahu menggembirakan ayah,” katanya.