Seorang personaliti TikTok dikenali sebagai ‘Princess Suzie’ didakwa meninggalkan rumah sewa dalam keadaan tidak terurus, menyebabkan pemiliknya mengalami kerugian mencecah RM33,000.
Tuan Rumah Rugi RM33,000, Influencer TikTok Didakwa ‘Hoarder’ & Gagal Bayar Sewa
Pendedahan itu dibuat oleh tuan rumah berkenaan menerusi satu hantaran di platform X, sebagai peringatan kepada pemilik rumah lain agar lebih berhati-hati sebelum menyewakan kediaman mereka.
Menurutnya, penyewa yang dikenali sebagai Suzie Rozieana atau nama sebenarnya Naiemah Binti Yaakub, 62, serta pasangannya, Mohd Shariff Bin Abdul Razak, 60, didakwa mempunyai tabiat menyimpan barang secara berlebihan (hoarding), sehingga menjejaskan keadaan rumah yang disewa.
Selain itu, pemilik rumah turut mendakwa mereka gagal menjelaskan bil elektrik tertunggak berjumlah RM16,000, selain kerosakan pada meter dan sistem paip air yang mengakibatkan kos pembaikan sebanyak RM2,500. Lebih memburukkan keadaan, pasangan itu juga dikatakan tidak membayar sewa selama beberapa bulan dengan tunggakan mencecah RM13,000.
Enggan berdepan lebih banyak kerugian, tuan rumah akhirnya terpaksa mengambil tindakan drastik dengan mendapatkan bantuan pihak polis bagi mengeluarkan mereka dari kediaman tersebut.
Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak yang terlibat berhubung dakwaan tersebut.
Kredit: X ainapinkk