Jambatan Pulau Pinang akan ditutup buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada acara Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang (PIBM) pada Ahad ini. Menurut laporan Bernama, jambatan tersebut akan ditutup bermula jam 12 tengah malam sehingga 10 pagi pada 11 Disember ini.
PLUS Malaysia Bhd (PLUS) memaklumkan Jambatan Pulau Pinang akan beroperasi semula pada 10 pagi, selepas acara larian itu tamat. Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang) sebagai jalan alternatif.
Selain itu, antara jalan lain yang dilencongkan ialah:
Daerah Timur Laut: Sepanjang Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu iaitu dari Persimpangan Jalan Sungai Pinang ke Persiaran Bayan Indah, dari Georgetown menghala ke Bayan lepas serta Jambatan Pulau Pinang
Daerah Barat Daya: kawasan Quensbay dan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke Georgetown
Seberang Perai Tengah: kenderaan yang mahu ke pulau, dari Lebuhraya Utara Selatan, akan dilencongkan ke Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah
Pengguna jaan raya diminta untuk merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan jalan alternatif yang telah disediakan. Seramai 300 pegawai serta anggota polis akan menjaga acara tersebut, dan pemandu diminta untuk mematuhi semua papan tanda dan mendengar arahan yang diberikan.
Bagi melancarkan lagi perjalanan, pemandu boleh menggunakan aplikasi Waze untuk mendapatkan jalan alternatif kerana pihak polis telah bekerjasama dengan pengendali aplikasi tersebut berhubung penutupan jalan sepanjang acara PBIM tersebut.
Acara Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang ini merupakan acara sukan tahunan terbesar di utara Semenanjung dan disertai 26,000 peserta tahun ini. Acara ini telah diadakan secara fizikal buat julung kalinya setelah dua tahun berehat.
Kategori perlumbaan termasuk Maraton Penuh (42km), Half Marathon (21km) dan Larian 10km (Terbuka/Junior).